|
Institut
beroperasi dalam suasana perniagaan yang semakin mencabar. Dimarakkan oleh
globalisasi, kemajuan teknologi yang pesat dan perkembangan rangka kerja kawal
selia – yang merupakan sebahagian daripada pemangkin masa, kebolehan untuk
berubah mengikut peredaran telah menjadi keperluan kepada semua organisasi.
Institut tidak terkecuali daripada fenomena ini.
Dalam pada kita maju ke hadapan, bertujuan untuk mencapai visi kita untuk
menjadi rakan kongsi yang komited kepada pembangunan negara, diiktiraf dan
dihormati di peringkat global, kita berterusan menghadapi cabaran yang
menjejaskan bukan sahaja profesion tetapi juga Institut. Dalam konteks ini,
Institut percaya pelaksanaan pendekatan proaktif dengan matlamat mencapai
kecekapan tahap tertinggi adalah amat genting.
Dari Urus
Setia kepada Pusat Pengurusan
Dalam tempoh yang dilaporkan, Institut melangkah pantas untuk menyesuaikan diri
dengan cabaran-cabaran ini, dengan melaksanakan strategi bagi meningkatkan
operasinya. Salah satu inisiatif transformasi penting ialah perubahan peranan
dari Urus Setia kepada Pusat Pengurusan. Transisi ini terhasil sebagai
sebahagian dari Pelan Strategik Korporat yang dihasilkan semasa Retreat Semakan
Strategik pada 22 Januari 2006 susulan dari Rangka Tindakan Strategik Institut
yang dirumuskan pada tahun 2001.
Jika sebelum ini Urus Setia dilihat sebagai entiti yang menyokong Majlis dan
menjalankan kerja-kerja pentadbiran yang diarahkan kepadanya, kini dengan
peranan barunya, kumpulan Pusat Pengurusan diberi kuasa memainkan peranan yang
lebih dinamik dan proaktif, sebagai penyedia input dalam merumuskan inisiatif
strategik Institut. Dalam pada itu, Majlis akan terus berkongsi pandangan dan
pemahaman bernilai mereka terhadap profesion. Dengan hubungan kerja ini,
Ahli-ahli Majlis dan kakitangan Pusat Pengurusan akan bekerjasama membawa
Institut ke tahap yang lebih tinggi.
Rasional kepada perubahan ini lebih kepada untuk memastikan kakitangan Pusat
Pengurusan mempunyai kuasa secukupnya untuk menguruskan Institut. Ini amat
penting untuk memastikan kesinambungan projek-projek kerana keahlian Majlis
bertukar setiap beberapa tahun memandangkan Ahli Majlis perlu menamatkan tempoh
pelantikan mereka.
Strategi
Kita
Dalam tempoh yang dilaporkan, Institut meletakkan beberapa pendekatan untuk
menyesuaikannya kepada persekitaran baru ini. Institut secara aktif meneruskan
tugasan pembangunan yang menekankan kepada peningkatan strategi modal insaniah.
Bagi membolehkan Pusat Pengurusan menyediakan perkhidmatan yang melebihi
jangkaan ahli-ahli dan untuk menjalankan fungsi-fungsi kawal selia Institut
dengan lebih efektif, beberapa jawatan penting telah diisi dalam tempoh yang
dilaporkan. Selain daripada itu, Institut terus mempersiapkan kumpulan
kakitangannya yang sedia ada dalam usaha untuk membantu mereka menyedari potensi
sepenuhnya menerusi latihan dan bimbingan yang relevan.
Institut sendiri berhasrat untuk menjadi cemerlang dalam usahanya menerusi
penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPIs) seperti mana yang terkandung dalam
Rangka Tindakan Strategik Institut. Untuk terus memotivasikan dan mendorong
kakitangan mencapai kejayaan, kakitangan turut dinilai berdasarkan petunjuk
prestasi utama yang telah ditetapkan pada setiap awal tahun.
Kami sedar bahawa insan adalah penting dalam setiap aspek terhadap prestasi
organisasi. Bagi merangsang semangat dan menunjukkan penghargaan atas komitmen
dan usaha-usaha mereka, kami percaya mereka perlu mendapat penghargaan. Dalam
tempoh yang dilaporkan, Institut telah memberi ganjaran bonus dan lawatan
keluarga ke Rompin, Pahang untuk warga kakitangannya.
Melihat ke
masa depan
Dari perspektif operasi, pengemaskinian proses dan kawalan dalaman sedang
berjalan. Didorong oleh keperluan untuk memenuhi jangkaan pihak yang
berkepentingan, Institut bekerja keras untuk memperbaiki sistem penyampaian. Ini
adalah tugasan berterusan yang penting bagi memastikan persepsi umum kepada
Institut dan profesion perakaunan di Malaysia tetap kekal, jika tidak bertambah
baik.
Kita juga terus menguruskan pelbagai projek Institut seperti Jawatankuasa
Pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan yang baru dilancarkan, penganjuran
Kongres Akauntan Sedunia ke-18 pada tahun 2010 dan inisiatif-inisiatif lain yang
telah atau sedang diikhtiarkan oleh pelbagai jawatankuasa Institut untuk
menyelesaikan isu-isu relevan dan mempelopori perkembangan profesion perakaunan
Malaysia.
Masa untuk meraikan
Dalam pada itu, peristiwa penting lain yang perlu diberi perhatian ialah
Institut sedang meraikan Ulang Tahunnya yang ke-40 pada tahun ini. Profesion
perakaunan di Malaysia telah bergerak dari tahap pembentukannya dan mengalami
banyak perkembangan selama ini. Malahan, beberapa tahun yang lepas merupakan
masa yang lebih dinamik. Empat puluh tahun sudah pastinya berbaloi untuk
diraikan dan Pusat Pengurusan sibuk sepanjang tahun ini menjalankan
aktiviti-aktiviti dan acara-acara bagi meraikan upacara khas ini dan kemuncaknya
pada Majlis Makan Malam DiRaja Ulang Tahun Institut yang ke-40 yang akan
diadakan pada 7 November 2007.
Penghargaan
Keseluruhannya, Institut menghadapi tahun yang amat sibuk diselang-seli dengan
pelbagai peristiwa penting dan acara-acara yang membuktikan kita bergerak ke
arah yang betul, seperti yang terkandung dalam Rangka Tindakan Strategik
Institut. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Institut, para ahli,
kumpulan Pusat Pengurusan dan semua pihak-pihak berkepentingan yang telah
memberikan komitmen dan sokongan dalam menyumbang kepada pelbagai kejayaan
Institut.
Ho Foong Moi |