|
TAHUN
YANG DILAPORKAN
Laporan
kewangan yang berakhir 30 Jun 2007 telah membentuk profesion dan Institut dan
kita telah membangun dengan begitu pesat. Sejak mengambil alih tunggak
kepimpinan Institut dua tahun yang lalu, saya bertekad untuk meneruskan strategi
yang dibangunkan oleh Ahli Majlis serta membantu menjayakannya demi
kecemerlangan profesion dan Institut. Dengan sokongan Majlis dan ahli-ahli, kita
telah mencapai sebahagian besar inisiatif dan objektif yang terkandung dalam
Rangka Tindakan Strategik Institut. Rangka Tindakan Strategik Institut telah
dibentuk untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan fungsi-fungsi yang
diamanahkan kepada Institut menurut Seksyen 6, Akta Akauntan, 1967 dan telah pun
diterapkan di dalam sistem pengurusan strategi korporat, yang terbukti menjadi
alat yang efektif dalam melaksanakan inisiatif strategik dan pengurusan prestasi.
Selama ini Institut menumpukan kepada beberapa sudut kritikal, antara lainnya:
(1) Cadangan Pindaan Akta Akauntan, 1967; (2) Globalisasi dan cabaran-cabarannya
dan (3) Mengukuhkan hubungan di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan
profesional dan membentuk perikatan dengan mereka yang berkongsi keprihatinan
bagi meningkatkan profesion.
Laporan tahunan ini menjelaskan inisiatif kami dalam setiap bidang. Saya ingin
menekankan sebahagian darinya.
MENGUKUHKAN PROFESION
Pindaan
kepada Akta
Institut mencadangkan pindaan kepada Akta Akauntan, 1967, yang menyaksikan
perubahan besar pada enam tahun yang lalu, bagi memastikan Akta kekal relevan
dan dinamik dalam menghadapi cabaran dan keperluan profesion perakaunan di
Malaysia. Sesungguhnya adalah amat penting bagi seseorang akauntan untuk
memiliki profesionalisme, kecekapan dan nilai-nilai etika serta berkualiti
tinggi, selaras dengan tanda aras global. Komponen utama yang perlu dikaji ialah
bagaimana profesion perakaunan masa kini dikawal selia dan mempertimbangkan
penambahbaikan yang perlu dibuat bagi memastikan sistem yang lebih efektif.
Semakan telah menghasilkan cadangan-cadangan yang meliputi pelbagai isu seperti
meningkatkan proses pematuhan dan kawal selia serta mengurus isu yang berkaitan
dengan pendidikan dan globalisasi.
Institut memulakan tugasan konsultasi umum bagi mendapatkan komen terhadap
dokumen perunding yang dicadangkan. Dokumen Perunding menetapkan perbincangan
tentang bagaimana untuk meningkatkan pengawalan profesion dan perkara lain yang
akan menyumbang kepada peningkatan prestasi ahli-ahli Institut. Perundingan umum
terhadap Draf Dokumen Perunding akan berakhir pada 7 September 2007. Saya ingin
mengambil kesempatan meluahkan harapan agar pihak-pihak yang berkepentingan dan
para ahli dapat memberikan komen yang bernilai dan berwawasan menerusi
penyertaan yang aktif dalam tugasan perundingan ini.
Globalisasi dan Cabaran-cabaran
Meskipun kita ingin terus dilindungi, tekanan antarabangsa telah menambah
momentum untuk liberalisasi perdagangan penuh agar kita kekal relevan
terutamanya kita sebagai penandatangan Perjanjian Umum Perdagangan dan
Perkhidmatan (GATS) dan ahli kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Perdagangan dalam perkhidmatan sedang menjalani metamorfosis global yang
akhirnya merentasi batas negara sepenuhnya.
Sedang peluang baru tercipta menerusi masyarakat dan ekonomi antarabangsa yang
lebih terbuka, kita pasti akan terdedah kepada risiko baru. Bagi mengekalkan
persaingan global, kita mesti terus melangkah, atau kita akan ketinggalan. Saya
menggesa para ahli agar memperteguh diri dan membentuk integrasi strategik
profesion kita dalam sektor ekonomi dan perniagaan, lalu menjadikan kita amat
diperlukan oleh negara dalam konteks antarabangsa dan tempatan.
Memandangkan Malaysia cuba menarik dan mewujudkan perniagaan dan pelaburan
global, piawaian perakaunan kita perlu diiktiraf di peringkat antarabangsa dan
responsif serta relevan kepada persekitaran perniagaan yang sering berubah-ubah.
Institut melihat Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) antara MIA dengan Ikatan
Akuntan Indonesia dan antara MIA dengan CPA Australia sebagai langkah yang
menggalakkan ke arah memajukan lagi profesion. Saya berharap MRA ini akan
membolehkan para ahli mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran global.
Untuk terus maju, Institut sentiasa mengikut amalan baik dan piawaian
antarabangsa dan pada masa yang sama terus mengekalkan nilai-nilai teras
integriti dan bebas. Kita perlu bekerjasama dalam menyumbang kepada pertumbuhan
dan kestabilan ekonomi di samping berkhidmat untuk kepentingan umum. Sudah tentu,
dengan kestabilan politik di sesebuah negara, golongan profesional seperti kita
pasti menjadi pihak ketiga yang dipercayai untuk menyumbang kepada hubungan
perniagaan dan pelaburan. Kredibiliti profesional memberi kesan kepada pasaran
kewangan dan ini memberi petanda kepada kejayaan atau sebaliknya kepada ekonomi
kita.
Jawatankuasa Pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan (FRSIC)
Pasaran modal Malaysia mencakupi isu-isu FRS yang dikeluarkan oleh Lembaga
Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) berkuat kuasa dari 1 Januari 2006.
Piawaian-piawaian baru selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS)
yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB),
memudahkan pertumpuan piawaian perakaunan secara global.
FRSIC merupakan satu lagi inisiatif Institut bagi membantu para ahli tentang
hal-hal kepentingan umum berkaitan dengan piawaian pelaporan kewangan dengan
cara menyediakan panduan pelaksanaan kepada penyedia dan juruaudit. Institut
komited bekerjasama dengan badan-badan profesional, penyedia-penyedia piawaian
dan pengawal selia bagi memastikan panduan pelaksanaan yang disediakan, mewakili
amalan baik antarabangsa.
Walau bagaimanapun, tujuan utama garis panduan pelaksanaan itu disediakan bukan
sebagai penyelesai segera kepada setiap masalah berkaitan amalan, tetapi bagi
membantu proses pelaksanaan dalam situasi yang melibatkan pelaporan penyata
kewangan. Penyedia dan juruaudit akan menghadapi situasi dalam tugas mereka yang
memerlukan garis panduan dalam menangani situasi tersebut dengan efektif. Nota
panduan ini akan menjadi amalan baik yang perlu diikuti oleh para ahli MIA.
Walau bagaimanapun, dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai profesional,
para ahli perlu bertindak secara profesional, sensitif dan bermoral dalam setiap
aktiviti mereka.
MAJU KE
HADAPAN
Kongres
Akauntan Sedunia 2010
Institut sedang bekerja keras bagi memastikan Kongres Akauntan Sedunia ke-18 (WCOA)
yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan November 2010, akan mencapai
kejayaan. Institut kini terlibat dalam usaha-usaha promosi dan pengiklanan di
samping menyediakan diri bagi memastikan acara itu mencapai kejayaan besar.
Jawatankuasa Pemandu WCOA 2010 yang tetap akan terdiri daripada mereka yang
benar-benar dapat memastikan kejayaan acara itu. Sama pentingnya, jawatankuasa
ini perlu mempunyai kesinambungan yang kukuh bagi mengekalkan momentum yang
telah dibentuk untuk kongres ini. Tambahan lagi, Kerajaan telah memberi sokongan
padu bagi menganjurkan kongres ini dan menyediakan geran sebanyak RM10 juta.
Kongres ini pasti akan meletakkan Malaysia di mata dunia dan menjadi platform
yang strategik untuk melonjakkan profesion perakaunan Malaysia di pasaran dunia.
40 Tahun
Menyemai Nilai-nilai
Institut menyambut Ulang Tahun yang ke-40 pada tahun 2007 yang membuktikan “MIA:
40 Tahun Menyemai Nilai-nilai.” Inilah masanya untuk meraikan peristiwa penting,
di samping mengenang perkara lepas dan melihat di mana kita sekarang. Menoleh ke
belakang menyaksikan Institut dan profesion bersama mereka yang bijaksana
membina asas yang kukuh untuk profesion menerusi karakter yang teguh,
berintegriti dan tidak mementingkan diri sendiri. Mereka merupakan contoh yang
unggul dari segala segi dengan skil yang hebat dan berkepercayaan kukuh kepada
nilai-nilai ini – integriti, bebas, jujur dan berobjektif. Mereka mencurahkan
masa dan bakat mereka tanpa sebarang rungutan, bukan sahaja kepada Institut dan
profesion tetapi kepada banyak lagi perkara yang wajar. Empat puluh tahun
selepas penubuhan MIA, Institut dan profesion perakaunan telah mengikuti
jejak-jejak yang ditinggalkan oleh segolongan mereka yang berbudi tinggi ini.
Semua ini telah dimuatkan dengan baik dalam Buku Peringatan Ulang Tahun MIA yang
ke-40.
Keahlian
Dengan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat, akauntan kini semakin dihormati
dan dipandang tinggi. Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa meskipun
kita berharap bilangan ahli-ahli terus bertambah untuk memenuhi keperluan negara,
tetapi kita tidak kompromi tentang kualiti ahli-ahli yang diterima masuk. Pada
masa kini Institut mempunyai seramai 23,000 orang ahli dan mungkin jumlah
profesional yang terbesar berbanding dengan institusi profesional yang lain.
Tetapi kekuatan badan profesional tidak diukur melalui saiznya. Malahan ia
diukur dengan kebolehannya menerajui profesion untuk bertindak dengan perubahan,
untuk membentuk pandangan umum tentang isu-isu utama, bagi menyumbang kepada
perkembangan antarabangsa, dan untuk mencartakan sempadan baru.
Saya ingin menyatakan bahawa akauntan adalah mengenai insan dan personaliti yang
memiliki keperibadian yang betul, skil yang khusus dan hidup dengan kod etika
dan integriti. Bagi memiliki gelaran ‘Akauntan’, seseorang mesti mengandaikan
beban dan tanggungjawab yang berat turut bersamanya. Ini bermakna apabila
masanya tiba, kita boleh melakukan tugas tanpa gentar atau pilih kasih. Kita
melahirkan pemikiran dan memberi pandangan. Apabila menghadapi sesuatu yang
jelas salah, kita boleh dengan tegasnya tidak bersetuju dan keluar darinya.
Begitu pun, Institut terus menerima kemunculan ahli-ahli yang berwawasan tinggi
sebagai tulang belakangnya, mempunyai belas kasihan di hatinya dan mereka yang
bersedia untuk membantu meneruskan usaha demi kepentingan profesion.
Tanggungjawab Sosial Korporat
Bak kata pepatah, ‘Untuk mendidik pemikiran seseorang dan bukan kelakuannya
ialah dengan mendidik ancaman masyarakat’. Salah satu cara untuk membantu
pelajar-pelajar perakaunan menyemai nilai-nilai baik dan mempunyai karakter yang
kukuh ialah dengan mendedahkan mereka kepada pengalaman kerja yang relevan atau
latihan amali. Dengan misi menjadi rakan kongsi perniagaan yang dihormati yang
komited kepada pembangunan negara, Institut telah melancarkan e-kerjaya MIA pada
bulan November 2006 dengan tujuan ‘mencari jodoh’ majikan-majikan berpotensi,
yang merupakan firma-firma ahli MIA dengan graduan-graduan perakaunan. Adalah
diharapkan trend terkini yang mana graduan perakaunan menceburi bidang kerjaya
berbeza selepas memperoleh ijazah, kesan dari kekurangan pengetahuan, akan dapat
diperbaiki.
Saya yakin bahawa pelajar-pelajar yang merupakan generasi akan datang mesti
diajar tentang nilai-nilai yang menghidupkan profesion dan tidak tertinggal
dalam mendapatkannya. Bekerja dengan firma-firma ahli dapat menyediakan
pelajar-pelajar dengan persekitaran pembelajaran yang tulen dalam pendidikan
karakter. Saya pasti pelajar-pelajar ini akan mendapat pengajaran yang berguna
tentang kerja keras dan nilai-nilai.
PENGHARGAAN
Saya berharap golongan perakaunan, penyedia piawaian dan pengawal selia akan
terus bersama-sama bergabung dalam usaha-usaha kami untuk memastikan
penyelesaian yang paling efektif digunakan untuk menghadapi cabaran yang
mendatang. Saya percaya, jika kita lakukannya dengan jayanya kita akan berkongsi
hasil dari usaha kita dan profesion kita akan dipandang tinggi dan keyakinan
pihak yang berkepentingan akan kembali.
Bagi pihak Majlis, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang
berkepentingan kerana sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada kami telah
banyak membantu Institut meningkatkan profesion. Ucapan terima kasih juga kepada
Akauntan Negara, Dato’ Mohamad Salleh Mahmud atas sokongan yang tidak ternilai
dalam menaikkan nama Institut dan profesion.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga
kepada Ahli Majlis yang telah memberikan komitmen tertinggi demi kepentingan
Institut dan profesion. Daya kepimpinan dan dedikasi Pendaftar, Encik Mohammad
Abdullah dan Pengarah Eksekutif, Puan Ho Foong Moi, serta Pusat Pengurusan
Institut merupakan tonggak penting dalam membolehkan kita mencapai pelbagai
perubahan bermakna bagi mengukuhkan lagi profesion serta memenuhi visi Institut
untuk terus berkembang.
Abdul Rahim Abdul Hamid |